Singapura: Pengguna Bukit Timah Expressway (BKE) semalam,
terkejut apabila mendapati wang kertas bertaburan di laluan berkenaan dan ramai
pengguna berhenti untuk mengutipnya.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang
berhampiran laluan menghubungkan Lebuhraya Seletar (SLE) dengan BKE.
Video yang dimuat naik oleh Reckless Drivers Community di
YouTube hari ini, menunjukkan laluan di lebuh raya itu dipenuhi not RM50
(S$17.90) dan ramai pemandu memperlahankan kenderaan berikutan ramai berhenti
mengutip wang berkenaan.
Menurut seorang pembantu tadbir, Annie, 50,kepada media
Singapura, Lianhe Wanbao, dia berada di atas bas dua tingkat apabila ternampak
not berterbangan.
Menurutnya, beberapa penumpang meminta pemandu supaya
memberhentikan bas kerana mereka mahu turun untuk mengambil wang itu tetapi dia
menolak.
Annie menganggarkan ada sekurang-kurangnya RM10,000.
Ahli perniagaan dikenali sebagai Liu, 60, memberitahu Shin Min
Daily News, dia menyangka not berkenaan hanya kertas biasa.
“Tetapi apabila saya memperlahankan kereta untuk melihat lebih
dekat, saya dapati ia adalah not RM50," katannya.
Tidak dapat dipastikan bagaimana wang kertas Malaysia itu boleh
berterbangan di lebuh raya berkenaan. - The Straits Times